Jumaat, 18 Oktober 2013

jenis-jenis JOP(jatuh organ peranakan)

Jenis-jenis JOP (Jatuh Organ Peranakan)

Bahagian atas/bumbung faraj

Sekiranya bahagian atas yang terlibat, maka rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed).

* Gred 1: Rahim terturun sedikit. Kebanyakan wanita mungkin tidak menyedarinya. Selalunya keadaan ini hanya diketahui apabila pemeriksaan dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti pap smear

* Gred 2: Rahim jatuh lebih jauh ke bawah dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj

* Gred 3: Hampir keseluruhan rahim jatuh terkeluar dari faraj.

Bahagian hadapan

Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj (sistosele). Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan.

Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa terjadi di kalangan wanita.

Bahagian belakang faraj

Sebahagian dari usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). Keadaan ini dipanggil enterosele.

Jika rektum pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur. Ini dipanggil rektosele, terang Dr. Rosilawati.

Kemungkinan besar, kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak dan harus diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting kerana jika tidak didiagnosis, boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit lebih-lebih lagi selepas pembedahan.

Menurutnya, ada lagi satu keadaan dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa jua masalah.

Ini mungkin mengambil masa untuk berlaku setelah sokongan oleh otot-otot keliling dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke bawah.

Ia terjadi pada 15 peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi disebabkan oleh JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid, ujar beliau.

Punca-punca JOP

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot dan ligamen pelvis menjadi lemah, antaranya kehamilan dan bersalin; usia dan menopaus; obesiti; ketumbuhan seperti fibroid yang besar dan; batuk atau sembelit kronik.

Lain-lain termasuklah mengangkat bebanan yang berat; keturunan seperti Sindrom Marfan dan etnik; menjalani pembedahan pelvis seperti histerektomi, pembetulan pundi kencing dan; kerosakan atau kecederaan pada saraf tunjang.

Simptom dan diagnosis

Wanita yang mengalami masalah JOP yang sedikit, kata Dr. Rosilawati, ada kalanya tidak berasa sebarang simptom atau ketidakselesaan.

Sekiranya pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas.

Apabila usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis.

Jatuh organ rahim pula menyebabkan wanita berasa ada benda berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk di mana rahim jatuh keseluruhannya, boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.

Terima Kasih Melawati Blog "Seri Dewi Malam"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan